Tuesday, 5 April 2016

Terima Kasih Kerana Setia Membayar Cukai Taksiran Dan Tahniah Premis Makanan Terbersih

Catatan : Mohd Asri Redha
Tarikh : 08 Mac 2016

Assalaamualaikum WRT dan selamat semuanya. Malam ini saya tidak balik Alor Setar. Rasa letih sangat untuk memandu lebih kurang 2 jam 45 minit untuk balik ke Alor Setar.. Lagipun keluar opis pun matahari sudah tenggelam.. Kalau balikpun besok pagi nak kena mai pula sebelum kul 8.00 pagi. Jadi baik tidor disini sahaja.... Malam ni saya ada masa sikit untuk buat catatan aktiviti-aktiviti opis saya. Lama juga saya tidak menulis dalam blog ini.. Sebenarnya banyak bahan berita yang saya boleh tuliskan berkenaan program di PBT TPHTK ini. Tapi itulah .. dok tunggu masa yang sesuai.. tapi bila ada masa yang sesuai. Sepatutnya waktu mana yang sempat , buat sahaja. baru jadi... Kalau nak tunggu masa 'free'.. sampai bila-bila tak 'free'... Jadi ada masa sikit-sikit ni.. ambil kesempatan .

Kebetulan pada petang tadi saya ada buat satu program berkaitan CUKAI PINTU dan PENGGREDAN PREMIS MAKANAN dalam kawasan PBT TPHTK ini. Program tersebut ialah Majlis Penghargaan Pembayar Setia Cukai Taksiran Industri dan Penyerahan Signplate Penggredan Premis Makanan Dalam Kawasan Pentadbiran PBTTPHTK yang diadakan di Komplek KHTP Business Centre, Kulim Hi-Tech Park, Kulim.

Saya amat mengambil berat akan hal berkaitan cukai taksiran atau cukai pintu di PBT . Cukai Pintu adalah salah satu sumber pendapatan terbesar sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan. Tanpa punya sumber pendapatan yang mencukupi adalah amat sukar untuk sesebuah PBT itu bergerak dan beroperasi dengan sebaik mungkin.  Terlalu banyak keperluan yang dipohon oleh warga dalam PBT ini dan kadang-kadang tidak dalam kemampuan PBT untuk memenuhi kesemuanya.  Sebab itu sebarang program pembangunan dan penyelenggaraan adalah terpaksa mengikut prioriti sesuai dengan kewangan yang diperolehi.

 Kadang-kadang orang awam tidak memahami akan kedudukan kewangan sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan. Apa yang mereka mahukan adalah perkhidmatan yang terbaik dari PBT TPHTK.... tanpa melihat akan kemampuan sesebuah PBT tersebut.

Saya amat menghargai akan pemilik-pemilik industri dalam kawasan PBT ini yang memberikan kerjasama yang padu dalam membayar cukai taksiran premis-premis  kilang mereka. Setiap tahun 100% semua kilang yang ada menyelesaikan cukai taksiran mereka..  Tahniah saya ucapkan.

Yang menjadi masalah ialah sebahagian kecil pemilik premis kediaman yang masih liat membayar cukai pintu dengan baik.. Liat sungguh nak bayar. Macam2 alasan diberi, seperti  tak terima bil, tidak duduk disitu , mahal sangat , tak mampu kerana dibuang kerja dan seribu macam alasan . Semuanya merupakan cabaran yang perlu diharungi oleh sesebuah PBT untuk memastikan semua pemilik2 premis  membayar cukai taksiran.

Begitu juga dengan tahap kebersihan premis-premis makanan di kawasan PBT ini. Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada premis-premis makanan yang beroperasi di kawasan PBT diatas pencapaian kualiti kebersihan bergred A. Bagi yang bergred kurang dari A itu , saya harap dapat pertingkatkan lagi usaha kearah menambahbaikkan lagi tahap kebersihan restoran dan premis makanan masing-masing dalam segala aspek bagi dari segi peralatan, penyediaan makanan, dan juga masakan makanan itu sendiri serta pelayanan terhadap pelanggarn... Semua itu bukan untuk sapa-sapa tapi untuk kebaikan pemilik premis atau pemilik restoran itu juga dalam menggalakkan lebih ramai lagi pelanggan datang menjamu selera di restoran mereka. Pelanggan juga akan mendapat kepuasan dari layanan yang diberikan, makanan yang bersih dan sedap disediakan dan keindahan restoran itu sendiri. Jadi tidak ada siapa yang rugi kalau kita pertingkatkan kearah kualiti kebersihan yang terbaik.  Pada masa yang sama imej kawasan PBT ini akan bertambah baik dan menjadi tarikan orang luar untuk datang menjamu selera di kawasan PBT kita ini.,, Saya doakan semua premis2 makanan tersebut sentiasa berusaha memperbaiki lagi mutu segala aspek restoran atau premis makanan mereka.....










Teks Ucapan saya dalam majlis tersebut seperti dibawah ini:



TEKS UCAPAN TUAN YDP PBTTPHTK


SEMPENA
MAJLIS PENGHARGAAN PEMBAYAR SETIA CUKAI TAKSIRAN INDUSTRI DAN PENYERAHAN SIGNPLATE PENGGREDAN PREMIS MAKANAN DALAM KAWASAN PENTADBIRAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN TAMAN PERINDUSTRIAN HI-TECH KULIM (PBT TPHTK)


8 MAC 2016


Aluan Pengerusi:



Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh, selamat sejahtera & good evening


1. Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izinNya dapat kita bersama-sama dalam Majlis Penghargaan Pembayar Setia Cukai Taksiran Industri dan Penyerahan ‘Signplate’ Penggredan Premis Makanan Dalam Kawasan Pentadbiran PBT TPHTK. Sesungguhnya kehadiran Dato’- Dato’, tuan-tuan dan puan-puan semua telah memeriahkan lagi majlis yang julung-julung kali diadakan ini.


2. Saya bagi pihak PBT TPHTK amat berterima kasih atas segala sokongan dan bantuan anda semua kepada PBT TPHTK selama ini. Tidak ketinggalan syabas diucapkan kepada Jawatankuasa Penganjur yang bertungkus-lumus menganjur dan menjayakan program ini.

Yang berbahagia Dato-dato, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

   
3. Kewajipan membayar cukai taksiran adalah sesuatu yang amat penting bagi memastikan sesuatu kawasan PBT dapat diurustadbir serta diselenggara dengan baik. Disamping itu pembayaran cukai taksiran juga boleh membantu PBT merencana pembangunan fizikal & peningkatan modal insan terhadap semua penghuni di kawasan pentadbirannya. Kawasan PBT TPHTK ini terbahagi kepada beberapa komponen iaitu komponen perindustrian, kompenan perumahan, komponen perniagaan dan komponen institusi. Dari kesemua komponen-komponen ini, komponen perindustrian menyumbang sehingga 57% dari keseluruhan cukai taksiran didalam kawasan PBT TPHTK ini. Berdasarkan angka ini, peratusan kutipan cukai taksiran PBT TPHTK adalah dimonopoli oleh sektor industri dimana lebih dari separuh jumlah cukai taksiran patut kutip PBT TPHTK adalah hasil kutipan dari sektor ini. Oleh yang demikian tidak dapat dinafikan pembayaran cukai taksiran dari komponen industri banyak membantu PBT TPHTK dalam melaksanakan tanggungjawab seharian kepada kawasan ini. Keseluruhannya terdapat 31 buah kilang yang mempunyai akaun cukai taksiran dengan PBT dengan jumlah keseluruhan cukai taksiran tahunan ialah RM 2,261,685.10. Suka saya nyatakan disini bahawa peratusan kutipan dari sektor industri ini saban tahun ialah 100% tahniah dan syabas saya ucapkan. Sehubungan dengan itu majlis hari ini diadakan sebagai tanda ingatan dan terima kasih dari pihak PBT TPHTK kepada semua pemain-pemain industri yang menjadi ‘pembayar setia’ cukai taksiran PBT TPHTK selama ini.


Yang Berbahagia Dato-Dato, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


4. Kewujudan perniagaan-perniagaan terutamanya perniagaan makanan yakni restoran, kafe dan kantin juga membantu menyeimbangkan permintaan penduduk dan golongan pekerja dalam menjalani kehidupan seharian. Oleh yang demikian premis-premis makanan yang beroperasi di kawasan PBT TPHTK ini seharusnya mempunyai kualiti penyediaan makanan yang terbaik disamping persekitaran premis yang bersih dan tersusun. Ini adalah penting untuk memastikan makanan yang dijual kepada pelanggan adalah dalam kualiti kebersihan yang terbaik. Ini seterusnya dapat mengelakkan kes-kes yang tidak diingini seperti keracunan makanan dan lain-lain kes yang boleh memudaratkan kesihatan penduduk serta mengurangkan produktiviti pekerja-pekerja di kawasan PBT TPHTK. Kualiti premis makanan di kawasan PBT TPHTK ini juga seringkali menjadi salah satu kayu pengukur kepada pelabur-pelabur yang berpontensi untuk melabur di dalam kawasan ini.

5. Oleh yang demikian, bagi memastikan perniagaan berasaskan makanan ini berada dalam keadaan terbaik untuk manfaat semua penduduk serta menjaga imej Taman Perindustrian Hi Tech Kulim, PBT TPHTK telah mengadakan program penggredan premis makanan di seluruh kawasan PBT bermula  Julai 2015 sehingga Januari 2016. Terima kasih saya ucapkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kulim yang turut sama membantu pihak PBT semasa program penggredan ini dijalankan. Secara keseluruhannya program penggredan ini melibatkan kantin-kantin di 17 kilang,10 premis makanan di kawasan Kulim Avenue dan 6 kantin atau premis makanan di lain-lain institusi. Setiap premis-premis makanan ini  dilawati serta diperiksa pelbagai aspek sebelum diberikan markah untuk menentukan gred mereka yakni gred A, B atau C. Bagi premis-premis makanan yang dinilai bergred B dan C ketidakpatuhan mereka diperjelaskan kepada pemilik dan surat dikeluarkan untuk mereka memperbaiki ketidakpatuhan tersebut sebelum lawanperiksa semula diadakan pada 1 tarikh yang baru. Ini bertujuan untuk memastikan semua premis-premis makanan di kawasan PBT ini akan senantiasa bergred A.


6. Justeru itu,pada hari ini, kita juga menjemput pengusaha-pengusaha premis makanan yang bergred A untuk kita hargai usaha dan disiplin mereka dalam memastikan premis mereka berada dalam keadaan terbaik dalam semua aspek untuk kepuasan pelanggan mereka di samping meneruskan kelansungan perniagaan mereka. Saya berharap mereka meneruskan kecemerlangan ini disamping saya juga menyeru peniaga-peniaga makanan yang lain untuk mempertingkat kualiti premis dan penyediaan makanan mereka ke gred A.


Yang Berbahagia Dato/Tuan/Puan...


7. PBT TPHTK telah menyediakan Pelan Strategik PBTTPHTK 2016-2021 sebagai langkahan ke depan untuk memastikan kawasan ini ditadbirurus sebaik mungkin. Pelan Strategik yang komprehensif itu mencakupi semua aspek yang diberi perkhidmatan oleh PBT. Oleh yang demikian saya menyeru semua pihak untuk kita sama-sama menjadikan Pelan Strategik tersebut sebagai salah satu panduan untuk perancangan masa hadapan di pihak masing-masing. PBT TPHTK senantiasa peka dengan setiap permasalahan yang dibangkitkan oleh semua pihak yang menghuni kawasan ini. InsyaAllah dengan bantuan ahli-ahli majlis serta jabatan-jabatan kerajaan yang ada kita akan berusaha menyelesaikan semua permasalahan atau isu yang dibangkitkan. Di samping itu, PBT TPHTK juga tidak mengabaikan program-program pembangunan sahsiah serta perpaduan masyarakat bagi menyuburkan jalinan komuniti yang menghuni kawasan ini. Beberapa program yang diatur oleh ahli-ahli majlis pegawai kawasan ‘area officer’ selain program-program yang dianjurkan sendiri oleh PBT TPHTK semuanya adalah menjurus kepada matlamat ini. InsyaAllah bagi tahun 2016 ini, PBT TPHTK juga telah menyenaraikan program-program yang bersesuaian terutamanya bagi menyambut ulangtahun ke 20 kewujudan Taman Perindustrian Hi Tech Kulim.


Yang Berbahagia Dato/Tuan/Puan...


8. Saya amat berharap kerjasama erat antara kita semua dapat diteruskan selamanya bagi menjamin kelansungan kawasan ini. Semoga kita sama-sama dapat menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negeri Kedah dan negara Malaysia pada masa kini dan akan datang. Akhir kata saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli-ahli majlis, jabatan-jabatan kerajaan dan jawatankuasa penganjur yang berusaha menjayakan program ini. Juga tidak lupa kepada tetamu-tetamu jemputan kita yang hadir pada hari ini. Kepada pemain-pemain industri teruskan sokongan anda kepada PBT TPHTK. Kepada pemilik premis perniagaan saya berharap anda terus peka terhadap aspek kebersihan semasa penyediaan makanan dan keadaan premis anda sendiri. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf jika ada sebarang kekurangan dan kecacatan pada majlis kita pada hari ini.


Sekian, ‘Wassalamualaikum Warahmattullahi Wabarakatuh’

No comments:

Post a Comment