Sunday, 24 April 2016

Semua Orang Mahu Sihat .. Tapi Keseganan dan Pengaruh Selera Makan Kuat Sangat.

Catatan : Mohd Asri Redha
Tarikh: 24 April 2016

Assalaamualaikum WRT.. Harapan semoga permulaan ini akan berterusan, tidak berhenti separuh jalan sahaja. Urusan kesihatan diri memang menjadi keutamaan semua orang.. betul tak..  Sapa yang tidak mahu sihat.. cakap sini.. semua orang mahu sihat.. Ada dua benda yang menentukan kesihatan kita ini.. iaitu  pemakanan kita dan aktiviti mengeluarkan peloh.. Kedua-dua ini amat penting. Yang lain-lain tu ada juga pengaruhnya seperti faktor genetik, keturunan, suasana tempat kerja, tahap tekanan dan kemalangan yang tidak diduga...

Tapi saya rasa sebahagian besarnya ialah dari cara kita makan dan aktiviti kita mengeluarkan peloh.. Yang ni berat sikit. Pengaruh selera dan keseganan tu yang menyebabkan ramai orang gagal mengatasinya termasuk saya sendiri.. Kadang-kadang makan tu tidak ingat dunia.. hentam sahaja kalau sedap.. Kalau duduk hotel tu.. semua makanan yang dihidangkan tu, rasa semua..  Kalau pi seminar pula.. makan sampai 5 kali sehari.. Ada sampai 6 kali.. tupun makan sungguh. Bukan tidak tahu kalau makan banyak terutama yang berlemak dan manis tidak baik untuk kesihatan.. tapi itulah yang dikatakan nafsu makan... memang susah untuk dipatuhi sepatutnya apatah lagi negara kita yang serba mewah ini dalam bab-bab makan ni..

Tidak mengapa juga kalau makan banyak, kita senaman pun kuat juga.. ada lah keseimbangannya kerana bilangan kalori yang ada dalam badan kita dibakar balik oleh aktiviti senaman aktif kita.. Masalahnya kalori yang masuk lebih banyak dari kalori yang dibakar. Ini yang membuat badan pada akhirnya akan membuahkan masalah kesihatan.....

Oklah.. cukup fasal itu.. anak-anak buah buat inisiatif untuk melawan keseganan dengan memaksa diri untuk mengadakan juga senaman aktif sebegini.. sebelum ini tidak buat. Tapi saya terbuka dalam hal ini.. Kalau mereka suka , saya lagilah suka... kerana dapat melahirkan anggota kerja yang lebih sihat dan bersemangat untuk kerja... Aktiviti mengeluarkan peloh memang menyegarkan...  sekarang ni jerebu dah tak ada.. bolehlah buat aktiviti seperti ini diluar.

Jumpa lagi.... Terima Kasih
Al Fatihah.. aamiin


















Aktiviti pada 24 April 2016





Aktiviti pada 01 November 2015

Yang gambar  bawah ni.. anak buah saya bab2 selfie ni boleh tahan juga.. Boss depa pun macam tu juga... he..hee



Thursday, 14 April 2016

Pernah Buat Rawatan Katarak Mata .. Di Kilang Abbott inilah Produk Tersebut DiKeluarkan...

Catatan: Mohd Asri Redha
Tarikh: 14 April 2016

Assalaamualaikum wrt  dan Selamat Sejahtera buat semua pembaca blog saya sekalian. 

Sebenarnya sejak saya tulis dalam blog ini yang saya buka akhir tahun lepas, tak lah banyak sangat yang baca blog saya. Yang seronoknya tulis blog ini ialah kita boleh  tahu berapa orang baca blog kita setiap hari, dan jumlah pembaca yang mengunjungi blog saya.. Lepas tu kita boleh tahu pula pengunjung masuk tengok menggunakan sistem operasi apa, dan dari negara mana mereka datang... semua itu ada ditunjukkan dalam blog.. itu yang seronoknya..

 
Setakat sekarang ni baru 1611 orang telah mengunjungi blog saya ini.. sikit saja tu.. Blog saya ini bukan blog politik , atau blog cari rezeki.. jadi tak ada apa yang saya nak kalutkan.. dan tak ada apa yang menarik untuk orang tertunggu-tunggu tulisan saya.. Tulis suka-suka sahaja disamping memberi pandangan saya berkenaan sesuatu perkara..  itu sahaja..
Nak masuk melawat dalam kilang kena
tutup macam ni laa.. segala jenis debu
tak boleh ada.. hatta make up muka pun
kena ditanggalkan atau dibasuh.............
Tak mahu habok2 terlekat kat kanta  yg 
dikeluarkan oleh kilang ini.

Hari ini saya nak cerita peristiwa yang berlaku  dalam kawasan PBT saya sahaja.. Saya baru sahaja balik dari Majlis Perasmian Kilang Abbot Manufacturing Malaysia Sdn Bhd di Kulim Hi-Tech Park.. Kilang ini baru sahaja beroperasi pada pertengahan tahun lepas dan produk mereka ini telahpun tersebar keserata penjuru dunia sebab produk ini merupakan produk yang amat diperlukan pada mereka yang  menghadapi masalah mata.. atau masalah 'cataract' mata... dulu2 kalau kat kampong kalau dapat 'cataract' ni..  lama-lama boleh buta terus.. teknologi untuk  memulihkan penyakit ini  belum sampai lagi ke Malaysia, kalau adapun memang kosnya amat tinggi. Sekarang ni rawatan penyakit ini sudah menjadi semakin mudah dan dianggap pembedahan ini sebagai 'minor' sahaja untuk menggantikan kanta mata yang rosak.. Seluruh dunia guna produk ini...  hebat kan.. 'Made in Malaysia'.. Bentok macam gambar diatas tu.. tapi sebenarnya kecik sangat.. ya la nak masukkan dalam mata... kena betul2 kecil , bersih dan padan.

Kilang ini mengeluarkan kanta tersebut sahaja.. Jadi sebenarnya produk keluaran dari Malaysia ini sememangnya telah terkenal diseluruh dunia dan diseluruh klinik, hospital-hospital swasta dan hospital kerajaan serata dunia.  Kita harus berbangga kerana produk itu datangnya dari Kulim Hi Tech Park.. Sebenarnya kilang Abbot terdapat dibanyak negara,  dan produk yang dikeluarkan pun banyak juga yang berkaitan 'medical device' dan  produk2 kesihatan. Kilang kat KHTP ini hanya mengeluarkan kanta ini sahaja. 

Orang Kuat KTPC ni...
Majlis perasmian kilang ini disempurnakan oleh YB Dato' Norsabrina Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang mewakili YAB Menteri Besar Kedah DA. 

Saya jarang berpeluang melawat kilang-kilang seperti ini terutama yang berteknologi tinggi.  Kilang-kilang biasa tu ada juga  melawat seperti kilang ubat nyamok, kilang kicap dan sebagainya. Tapi kat kawasan KHTP ini semuanya adalah kilang-kilang yang berteknologi tinggi dan sebahagian besar tenaga pekerjanya adalah mereka yang mempunyai kemahiran dan kelayakan yang tinggi.  Ini bermakna ianya memerlukan mereka yang mahir dan berpengetahuan teknikal yang terbaik.

Sebab itu bila nak masuk melawat tempat operasi pengeluaran produk mereka terpaksa melalui pelbagai pematuhan yang amat ketat bagi menjaga keaslian dan ketelitian produk yang dihasilkan... Sebab itu kalau tengok saya berpakaian tu, terpaksa tutup mulut, tutup rambut, tutup kasut, tangan kena disteril, kalau pakai 'make up'  kena basuh muka ... Tupun bukan boleh masuk melawat kat tempat operasi sebenarnya. Tengok melalui cermin sahaja. Sampai macam tu sekali.  

Apa yang saya tertarik sangat ialah rupanya ramai anak-anak muda melayu yang bekerja disyarikat ini. Setiap peringkat yang dilawati , kami diterangkan dengan begitu yakin oleh beberapa orang anak-anak muda melayu yang bekerja kat kilang ini ... dan begitu menarik penerangan mereka dengan penggunaan bahasa inggeris yang jelas dan lancar. Mereka sendiri nampaknya begitu bersemangat untuk bekerja dan memajukan syarikat tempat mereka bekerja ini.. Tahniah kepada mereka ini . Bagus sekali mereka tunjukkan kebolehan dan kemahiran yang terbaik kepada pengurusan atasan kilang ini agar mereka 'confident' dengan kebolehan orang Malaysia.  Bukan senang orang Amerika Syarikat hendak memberi kepercayaan kepada kebolehan orang Malaysia terutama anak Melayu. Tapi di kilang ini saya nampak banyak anak-anak muda Melayu yang diberi peranan dan tanggungjawab yang sepatutnya sesuai dengan kebolehan dan kemahiran mereka.. Teruskan kecemerlangan itu... 

 Itu saja catatan saya .... Terima kasih.                                                                                                                                                        

Perasmian  pembukaan kilang oleh YB Dato' Norsabrina Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yg mewakili YAB Menteri Besar
Kedah Darul Aman...
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          



Antara produk-produk lain yang dikeluarkan oleh kilang    Abbott .. Tapi bukan di KHTP ini.






Monday, 11 April 2016

Rupanya Solat Sunat Wudhuk Tu Banyak PahalanyA

Catatan: Mohd Asri Redha
Tarikh: 06 April 16

Assalaamualaikum WRT.. dan selamat petang.

Kali ini saya nak cerita fasal pembangunan insan saja.. tentang diri kita sendiri, tentang hala tuju kita setelah kematian... bersediakan kita dengan segala persiapan untuk kearah itu.. dok kalut sangat fasal kerja dan segala macam aktiviti didunia yang hanya untuk dunia sahaja , kadang-kadang kita terlupa kita dah simpan apa ya untuk perbelanjaan dialam akhirat nanti.. cukup tak lagi poket kita dengan bekalan itu... ini yang selalu bermain-main dalam kepala... dok kira pi kira mai.. rasanya tak cukup lagi.. nak buat tambang pi pun tak cukup lagi.. apatah lagi nak buat belanja dialam kubur dan alam akhirat sana... umur pun semakin meningkat.. Allah SWT boleh tarik bila-bila masa sahaja.. Ramai rakan yang Allah SWT tarik lebih awal lagi.. tak tunggu tua kerepok dah... muda-muda lagi dah ditarik umurnya.. Nak tunggu bila lagi nak buat semua itu.. Nak tunggu pencen ka... itupun kalau sempat pencen.. nak tunggu sihat ka...  umum kata makin tua kita makin kurang sihat kita..  nak tunggu kaya ka atau senang ka.. baru nak buat...  namun ada kita tengok dah kaya raya serata dunia dah pi bertandang tapi yang wajib pun tak buat juga seperti mengerjakan ibadah haji...  Jadi kita ni semua bagaimana.... saya ni bagaimana.. awak pula bagaimana ....

Jadi semua orang kena bersedia dengan kematian.. mati itu adalah pasti....   ramai orang tahu akan mati juga akhirnya tapi depa tak kisahpun...  yang dok kisahpun takut juga tapi masih tak pulun2 juga buat ibadat sebanyak mungkin termasuk yang sunat-sunat .. dulu dok buat yang wajib-wajib saja.. sunat tu macam tak kisah.. Hak yang sunat itulah yang akan beri kita bekalan yang banyak kepada kita.. Yang wajib tu kena buat ... sebab wajib buat.,. kalau tak buat berdosa besar,, dosa kecik2 yang kita buat dan terbuat tu sekurang-kurang ditampong pahala-pahala yang kita dapat dari segala macam sunat-sunat yang tak terkira banyaknya... Banyak sungguh dosa2 kecik yang kita dok buat hari-hari... dok mengata kat orang, dok buat maksiat kecik, mata dok perhati yg tak sepatutnya.. dok cakap yang tak sepatutnya. dok buat yang tak sepatutnya.. dan segala macam.. tu yang kecik2 .. yang besar2 tu buat juga tanpa disedari macam dok fitnah orang melalui media internet tu,  mengumpat , dan sebagainya..Hak yang wajib dulu masa baru baligh tu.. banyak yang tak buat dan tak ambil kisah, terutama bab sembahyang... ganti dak lagi.. nak tunggu bila nak ganti atau kadho..

ok lah.. cukup intro saya takat itu.. sebenarnya ofis saya ada mengaturkan kuliah mingguan setiap khamis yang ada kaitan dengan cara nak dapat pahala sebanyak mungkin bagi bekalan kita di akhirat nanti..

Saya suka catatkan  sikit apa2 shj majlis ilmu  yg saya ikuti.. sekurang2nya ingat juga nanti..  kalau tidak lupa begitu sahaja...

saya tidak berkesempatan penuh untuk mengikuti kuliah tersebut setiap minggu.. maklum lah kita ni sibuk segalanya fasal kerja... tak apalah .. tak boleh pi kuliah, sekadar baca dan amalpun kita ok juga.. tapi kalau pi kuliah lagilah amat berkat, dapat pahala lagi ... tok guru yang guide kita lagi baik ...

Amat beruntung pada siapa yang mengerti dan mengikuti kuliah-kuliah ilmu ini kerana ia adalah salah satu taman-taman syurga (raudhah) dimana para Malaikat menghamparkan sayap untuk penuntut ilmu, mendapat doa dari binatang-binatang, mendapat pahala yang besar melebihi pahala solat sunat 100 rakaat dan sebagainya... Itu dia hadiah  yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya.. Sekarang kita tak nampak dan rasa pahala  tu tapi bila sudah berada dialam baqa dan alam akhirat baru kita akan dapat nikmatnya.. Ini tercerita  dalam Hadith pertama buku ini bertajuk ^Menghadiri Majlis Ilmu.^

Ustaz Nazri ajar kali ini berpandukan buku susunan Ustaz Zamri bin Hashim iaitu.."40 HADITH .. Jalan Ke Syurga".. Masa saya ikuti kuliah Ustaz baca hadith yang ke 5 : iaitu ^Solat Sunat Wudhuk^

Hadith tersebut bermaksud begini : Daripada Abu Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada Bilal: " Wahai Bilal, ceritakan kepada ku apakah amalan istimewa yang engkau lakukan di dalam Islam? Sesungguhnya aku mendengar bunyi derapan kasutmu ketika aku berada dalam Syurga". Bilal berkata : " Saya tidak mempunyai apa2 amalan yang diharapkan (istimewa) selain setiap kali saya berwudhuk pada waktu malam atau siang, saya sentiasa bersembahyang dengan wudhuk itu (solat sunat yang tidak diwajibkan keatas saya)"..

Satu lagi hadith yang dibacakan dalam tajuk yang sama.. Daripada Uqbah bin Amir RA berkata: : "Rasulullah SAW bersabda: "tidaklah seseorang berwudhuk lalu memperelokkan wudhuknya, kemudian dia solat sunat dua rakaat dengan penuh khusyuk , melainkan syurga pasti menjadi miliknya".

Saya tak mau ulas panjang.. fahamkan makasudnya hadis shahih ini...  jadi mau dengan tak mau sahaja... nak buat atau tak mau buat... diri sendiri yang menerima ssegala pahala yang melimpah ruah itu jika dibuat...

Sekian sahaja celoteh saya kali ini.. TQ
Baca Al Fatihah. . aamiin








MARI KITA TANAM POKOK .. BANYAK SANGAT MANAFAATNYA..

Catatan : Mohd Asri Redha
Tarikh:   10 April 2016
____________________________________________
FAKTA:

Tempat:  Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Hi-Tech.@ Program : Tanaman Pokok Hijau Sebagai Pagar Sekolah @ Penglibatan :     PBT Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim, Kelab Lion Kulim, SMK Taman Hi-Tech @ Tarikh         :10.04.2016. @ Bilangan Pokok Di Tanam Secara Gotong Royong : Lebih 300 pokok.


Teks Ucapan MohdAsri Redha b. Abdul Rahman : YDP PBT Taman Perindustrian Hi Tech Kulim

Assalaamualaikum WRT dan Selamat Sejahtera

Ybhg En. Hazmuni Saidin ,YDP PIBG SMK THT , Puan Pengetua Sekolah Puan Norhashimah bt Che Meh, En Subramaniam a/l Maranaiah Presiden  Kulim Lions Club,  En Stalin Ahli Majlis Tertinggi PBT TPHTK, guru2, pegawai-pegawai PBT, ahli-ahli Kelab Lions , murid2 seterusnya tuan-tuan dan puan yang amat dimuliakan sekalian.

Bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana dengan izin NYA dapat kita berkumpul disini pada pagi yang amat baik sekali cuacanya untuk melaksanakan Program Hijau Bersama PBT TPHTK, Kelab Lions Kulim, PIBT dan juga SMKHTK yang mana ini julung2 kali diadakan dibawah program bersama antara sekolah dengan jabatan saya dan NGO. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian semua pihak yang telah sama-sama bergabung tenaga menjayakan program ini. Semoga usahasama ini akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dalam pelbagai bidang dan aktiviti.


Secara peribadinya saya sebenarnya tidak pernah sampai lagi ke sekolah ini, tapi ianya tidak asing lagi pada penduduk disekitar sekolah ini. Ianya merupakan sebuah sekolah yang amat unik kerana terletak dikawasan PBT Hi-Tech Kulim tetapi tidak mempunyai pagar sekolah. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada  Jawatankuasa Penganjur yang telah sudi menjemput saya ke majlis ini dan merasmikan program yang amat bermakna ini... Jadi dapatlah juga saya datang ke sekolah ini... satu2 nya sekolah menengah yang ada dalam kawasan PBT ini.  Betullah bila saya lalu tadi saya nampak sebahagian besar kawasan sekolah ini tidak mempunyai pagar.

Selalunya bila tidak ada pagar sekolah, kebiasaannya akan berlaku murid2 yang ponteng keluar sekolah diwaktu persekolahan. Tetapi dari maklumat yang saya terima, perkara ini tidak berlaku di sekolah ini.  Jadi saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak pengurusan sekolah ini yang telah mendidik anak-anak murid disini dengan begitu berdisiplin sekali. Kalau tak ada pagar ini faham-faham sahaja.. ramai murid yang ambil kesempatan untuk lari keluar dengan mudah.. Jadi ini mencerminkan pelajar sekolah ini merupakan pelajar yang amat berdisiplin. Saya berdoa dengan disiplin yang kuat yang ditanamkan disekolah, Insya Allah sekolah ini juga nanti akan menunjukkan kecemerlangan yang terbaik dalam bidang akademik pula.. Kemungkinan-kemungkinan ini berlaku tidak dapat dinafikan, kerana segala kejayaan yang dicapai itu adalah hasil dari disiplin yang terbaik yang diamalkan oleh ahli-ahli mana-mana organisasi atau warga sekolah ini.

Saya difahamkan saban tahun silih berganti pelbagai program dirancang, dijalankan oleh sekolah ini yang bertujuan untuk pembangunan serta kemajuan sekolah. Sudah semestinya ianya ada perkaitan dengan fokus utama SMK Taman Hi Tech iaitu demi kepentingan anak didik  sekolah ini. SMK Taman Hi Tech juga telah menjulang beberapa kejayaan besar bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam kokurikulum.. Program yang dilaksanakan pada pagi ini juga merupakan satu tindakan bijak pihak sekolah dalam melestarikan alam sekitar kearah yang lebih selesa melalui pendekatan mengadakan pagar sekolah menggunakan pokok hijau sebagai pelindung. Satu idea yang amat menarik dan kos yang lebih efektif. Sebagai sebuah PBT yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyelenggaraan infrastruktur, landskap , kebersihan dan kitar semula saya amat berbangga sekali dengan inisiatif kreatif yang diambil oleh pihak sekolah.. Tahniah saya ucapkan pada semua pihak yang terlibat.

Oleh itu pemilihan SMK THT sebagai calon sekolah pilihan oleh pihak Lions Club dan PBT amat bertepatan untuk dilaksanakan Program Hijau ini iaitu program tanaman pokok sebagai pagar. Saya mengucapkan tahniah kpd pihak sekolah yang telah menjadikan aktiviti menanam pokok ini sebagai aktviti yang sihat yang memberi pengajaran langsung kepada murid-murid sekolah kearah keperluan keprihatinan yang terbaik terhadap peri pentingnya menghargai alam sekitar. PBT-TP HTK sendiri sebenarnya mempunyai program tersendiri dalam menanam pokok2 hijau teduhan dan usaha yang dibuat oleh Pihak Sekolah dan lain-lain badan NGO spt Lions Club amat membanggakan saya dan melengkapkan lagi program-program yang amat diberi perhatian oleh Kerajaan.

Seperti yang saya perhatikan,  keceriaan SMKTHT amat ketara sekali dengan penggunaan ruang serta warna  yang menarik minat pelajar untuk belajar dalam suasana yang kondusif dan lestari. Selepas ini adalah diharapkan tiada lagi pandangan sinis mengenai SMKTHT yang tidak berpagar kerana kini akan dihiasi indah dengan sempadan pokok pagar yang menambahkan keceriaan suasana sekolah.

Matlamat Program Hijau yang dilaksanakan dalam dua fasa ini bukan hanya ingin memupuk dan menanam semangat cintakan akan alam sekitar, malah melatih setiap warga sekolah terutamanya pelajar agar sentiasa menjaga, mencintai, menghargai kehijauan, disekitar sekolah supaya generasi warga seterusnya juga akan dapat menghayati dan menghargai nilai keindahan alam semulajadi ciptaan Tuhan.

Program Hijau Bersama PBT, Kulim Lions Club, PIBG dan SMKTHT yang dilaksanakan secara bergotong royong ini diharapkan bukannya titik noktah bagi kerjasama antara SMKTHT dengan pihak luar. Kerjasama dan sokongan bantuan yang berterusan dari PBT, dan Lions Club dalam pelbagai usaha dan program pada masa akan datang akan dipertingkatkan lagi. Insya Allah, saya sebagai YDP PBT TP HTK  sentiasa memberi perhatian yang tinggi terhadap usaha-usaha seperti ini dan akan cuba membantu dimana yang bersesuaian terutama yang berkaitan dengan kempen-kempen keindahan, kebersihan dan kitar semula.

Semoga usaha menghijaukan alam sekitar akan menjadi satu amalan murni dalam masyarakat di kawasan PBT ini amnya dan SMKTHT khususnya. Harapan saya usaha PBT, Pihak Lions Club, PIBG SMKTHT dan pihak sekolah sendiri akan membuahkan kejayaan yang cemerlang, bukan sahaja dalam menerajui kempen2 alam sekitar tetapi juga kecemerlangan dalam akademik.

Akhir kata , tahniah dan ribuan terima kasih saya ucapkan atas penglibatan semua pihak yang sanggup bersusah payah menjayakan Program Hijau ini.

Dengan kalimah suci Bismillahirrahmaanirrahiim saya dengan ini merasmikan Program Hijau Bersama PBT TPHTK, Lions Club, PIBG dan SMKTHT

Sekian terima kasih.




Tuesday, 5 April 2016

Terima Kasih Kerana Setia Membayar Cukai Taksiran Dan Tahniah Premis Makanan Terbersih

Catatan : Mohd Asri Redha
Tarikh : 08 Mac 2016

Assalaamualaikum WRT dan selamat semuanya. Malam ini saya tidak balik Alor Setar. Rasa letih sangat untuk memandu lebih kurang 2 jam 45 minit untuk balik ke Alor Setar.. Lagipun keluar opis pun matahari sudah tenggelam.. Kalau balikpun besok pagi nak kena mai pula sebelum kul 8.00 pagi. Jadi baik tidor disini sahaja.... Malam ni saya ada masa sikit untuk buat catatan aktiviti-aktiviti opis saya. Lama juga saya tidak menulis dalam blog ini.. Sebenarnya banyak bahan berita yang saya boleh tuliskan berkenaan program di PBT TPHTK ini. Tapi itulah .. dok tunggu masa yang sesuai.. tapi bila ada masa yang sesuai. Sepatutnya waktu mana yang sempat , buat sahaja. baru jadi... Kalau nak tunggu masa 'free'.. sampai bila-bila tak 'free'... Jadi ada masa sikit-sikit ni.. ambil kesempatan .

Kebetulan pada petang tadi saya ada buat satu program berkaitan CUKAI PINTU dan PENGGREDAN PREMIS MAKANAN dalam kawasan PBT TPHTK ini. Program tersebut ialah Majlis Penghargaan Pembayar Setia Cukai Taksiran Industri dan Penyerahan Signplate Penggredan Premis Makanan Dalam Kawasan Pentadbiran PBTTPHTK yang diadakan di Komplek KHTP Business Centre, Kulim Hi-Tech Park, Kulim.

Saya amat mengambil berat akan hal berkaitan cukai taksiran atau cukai pintu di PBT . Cukai Pintu adalah salah satu sumber pendapatan terbesar sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan. Tanpa punya sumber pendapatan yang mencukupi adalah amat sukar untuk sesebuah PBT itu bergerak dan beroperasi dengan sebaik mungkin.  Terlalu banyak keperluan yang dipohon oleh warga dalam PBT ini dan kadang-kadang tidak dalam kemampuan PBT untuk memenuhi kesemuanya.  Sebab itu sebarang program pembangunan dan penyelenggaraan adalah terpaksa mengikut prioriti sesuai dengan kewangan yang diperolehi.

 Kadang-kadang orang awam tidak memahami akan kedudukan kewangan sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan. Apa yang mereka mahukan adalah perkhidmatan yang terbaik dari PBT TPHTK.... tanpa melihat akan kemampuan sesebuah PBT tersebut.

Saya amat menghargai akan pemilik-pemilik industri dalam kawasan PBT ini yang memberikan kerjasama yang padu dalam membayar cukai taksiran premis-premis  kilang mereka. Setiap tahun 100% semua kilang yang ada menyelesaikan cukai taksiran mereka..  Tahniah saya ucapkan.

Yang menjadi masalah ialah sebahagian kecil pemilik premis kediaman yang masih liat membayar cukai pintu dengan baik.. Liat sungguh nak bayar. Macam2 alasan diberi, seperti  tak terima bil, tidak duduk disitu , mahal sangat , tak mampu kerana dibuang kerja dan seribu macam alasan . Semuanya merupakan cabaran yang perlu diharungi oleh sesebuah PBT untuk memastikan semua pemilik2 premis  membayar cukai taksiran.

Begitu juga dengan tahap kebersihan premis-premis makanan di kawasan PBT ini. Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada premis-premis makanan yang beroperasi di kawasan PBT diatas pencapaian kualiti kebersihan bergred A. Bagi yang bergred kurang dari A itu , saya harap dapat pertingkatkan lagi usaha kearah menambahbaikkan lagi tahap kebersihan restoran dan premis makanan masing-masing dalam segala aspek bagi dari segi peralatan, penyediaan makanan, dan juga masakan makanan itu sendiri serta pelayanan terhadap pelanggarn... Semua itu bukan untuk sapa-sapa tapi untuk kebaikan pemilik premis atau pemilik restoran itu juga dalam menggalakkan lebih ramai lagi pelanggan datang menjamu selera di restoran mereka. Pelanggan juga akan mendapat kepuasan dari layanan yang diberikan, makanan yang bersih dan sedap disediakan dan keindahan restoran itu sendiri. Jadi tidak ada siapa yang rugi kalau kita pertingkatkan kearah kualiti kebersihan yang terbaik.  Pada masa yang sama imej kawasan PBT ini akan bertambah baik dan menjadi tarikan orang luar untuk datang menjamu selera di kawasan PBT kita ini.,, Saya doakan semua premis2 makanan tersebut sentiasa berusaha memperbaiki lagi mutu segala aspek restoran atau premis makanan mereka.....










Teks Ucapan saya dalam majlis tersebut seperti dibawah ini:



TEKS UCAPAN TUAN YDP PBTTPHTK


SEMPENA
MAJLIS PENGHARGAAN PEMBAYAR SETIA CUKAI TAKSIRAN INDUSTRI DAN PENYERAHAN SIGNPLATE PENGGREDAN PREMIS MAKANAN DALAM KAWASAN PENTADBIRAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN TAMAN PERINDUSTRIAN HI-TECH KULIM (PBT TPHTK)


8 MAC 2016


Aluan Pengerusi:



Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh, selamat sejahtera & good evening


1. Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izinNya dapat kita bersama-sama dalam Majlis Penghargaan Pembayar Setia Cukai Taksiran Industri dan Penyerahan ‘Signplate’ Penggredan Premis Makanan Dalam Kawasan Pentadbiran PBT TPHTK. Sesungguhnya kehadiran Dato’- Dato’, tuan-tuan dan puan-puan semua telah memeriahkan lagi majlis yang julung-julung kali diadakan ini.


2. Saya bagi pihak PBT TPHTK amat berterima kasih atas segala sokongan dan bantuan anda semua kepada PBT TPHTK selama ini. Tidak ketinggalan syabas diucapkan kepada Jawatankuasa Penganjur yang bertungkus-lumus menganjur dan menjayakan program ini.

Yang berbahagia Dato-dato, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

   
3. Kewajipan membayar cukai taksiran adalah sesuatu yang amat penting bagi memastikan sesuatu kawasan PBT dapat diurustadbir serta diselenggara dengan baik. Disamping itu pembayaran cukai taksiran juga boleh membantu PBT merencana pembangunan fizikal & peningkatan modal insan terhadap semua penghuni di kawasan pentadbirannya. Kawasan PBT TPHTK ini terbahagi kepada beberapa komponen iaitu komponen perindustrian, kompenan perumahan, komponen perniagaan dan komponen institusi. Dari kesemua komponen-komponen ini, komponen perindustrian menyumbang sehingga 57% dari keseluruhan cukai taksiran didalam kawasan PBT TPHTK ini. Berdasarkan angka ini, peratusan kutipan cukai taksiran PBT TPHTK adalah dimonopoli oleh sektor industri dimana lebih dari separuh jumlah cukai taksiran patut kutip PBT TPHTK adalah hasil kutipan dari sektor ini. Oleh yang demikian tidak dapat dinafikan pembayaran cukai taksiran dari komponen industri banyak membantu PBT TPHTK dalam melaksanakan tanggungjawab seharian kepada kawasan ini. Keseluruhannya terdapat 31 buah kilang yang mempunyai akaun cukai taksiran dengan PBT dengan jumlah keseluruhan cukai taksiran tahunan ialah RM 2,261,685.10. Suka saya nyatakan disini bahawa peratusan kutipan dari sektor industri ini saban tahun ialah 100% tahniah dan syabas saya ucapkan. Sehubungan dengan itu majlis hari ini diadakan sebagai tanda ingatan dan terima kasih dari pihak PBT TPHTK kepada semua pemain-pemain industri yang menjadi ‘pembayar setia’ cukai taksiran PBT TPHTK selama ini.


Yang Berbahagia Dato-Dato, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


4. Kewujudan perniagaan-perniagaan terutamanya perniagaan makanan yakni restoran, kafe dan kantin juga membantu menyeimbangkan permintaan penduduk dan golongan pekerja dalam menjalani kehidupan seharian. Oleh yang demikian premis-premis makanan yang beroperasi di kawasan PBT TPHTK ini seharusnya mempunyai kualiti penyediaan makanan yang terbaik disamping persekitaran premis yang bersih dan tersusun. Ini adalah penting untuk memastikan makanan yang dijual kepada pelanggan adalah dalam kualiti kebersihan yang terbaik. Ini seterusnya dapat mengelakkan kes-kes yang tidak diingini seperti keracunan makanan dan lain-lain kes yang boleh memudaratkan kesihatan penduduk serta mengurangkan produktiviti pekerja-pekerja di kawasan PBT TPHTK. Kualiti premis makanan di kawasan PBT TPHTK ini juga seringkali menjadi salah satu kayu pengukur kepada pelabur-pelabur yang berpontensi untuk melabur di dalam kawasan ini.

5. Oleh yang demikian, bagi memastikan perniagaan berasaskan makanan ini berada dalam keadaan terbaik untuk manfaat semua penduduk serta menjaga imej Taman Perindustrian Hi Tech Kulim, PBT TPHTK telah mengadakan program penggredan premis makanan di seluruh kawasan PBT bermula  Julai 2015 sehingga Januari 2016. Terima kasih saya ucapkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kulim yang turut sama membantu pihak PBT semasa program penggredan ini dijalankan. Secara keseluruhannya program penggredan ini melibatkan kantin-kantin di 17 kilang,10 premis makanan di kawasan Kulim Avenue dan 6 kantin atau premis makanan di lain-lain institusi. Setiap premis-premis makanan ini  dilawati serta diperiksa pelbagai aspek sebelum diberikan markah untuk menentukan gred mereka yakni gred A, B atau C. Bagi premis-premis makanan yang dinilai bergred B dan C ketidakpatuhan mereka diperjelaskan kepada pemilik dan surat dikeluarkan untuk mereka memperbaiki ketidakpatuhan tersebut sebelum lawanperiksa semula diadakan pada 1 tarikh yang baru. Ini bertujuan untuk memastikan semua premis-premis makanan di kawasan PBT ini akan senantiasa bergred A.


6. Justeru itu,pada hari ini, kita juga menjemput pengusaha-pengusaha premis makanan yang bergred A untuk kita hargai usaha dan disiplin mereka dalam memastikan premis mereka berada dalam keadaan terbaik dalam semua aspek untuk kepuasan pelanggan mereka di samping meneruskan kelansungan perniagaan mereka. Saya berharap mereka meneruskan kecemerlangan ini disamping saya juga menyeru peniaga-peniaga makanan yang lain untuk mempertingkat kualiti premis dan penyediaan makanan mereka ke gred A.


Yang Berbahagia Dato/Tuan/Puan...


7. PBT TPHTK telah menyediakan Pelan Strategik PBTTPHTK 2016-2021 sebagai langkahan ke depan untuk memastikan kawasan ini ditadbirurus sebaik mungkin. Pelan Strategik yang komprehensif itu mencakupi semua aspek yang diberi perkhidmatan oleh PBT. Oleh yang demikian saya menyeru semua pihak untuk kita sama-sama menjadikan Pelan Strategik tersebut sebagai salah satu panduan untuk perancangan masa hadapan di pihak masing-masing. PBT TPHTK senantiasa peka dengan setiap permasalahan yang dibangkitkan oleh semua pihak yang menghuni kawasan ini. InsyaAllah dengan bantuan ahli-ahli majlis serta jabatan-jabatan kerajaan yang ada kita akan berusaha menyelesaikan semua permasalahan atau isu yang dibangkitkan. Di samping itu, PBT TPHTK juga tidak mengabaikan program-program pembangunan sahsiah serta perpaduan masyarakat bagi menyuburkan jalinan komuniti yang menghuni kawasan ini. Beberapa program yang diatur oleh ahli-ahli majlis pegawai kawasan ‘area officer’ selain program-program yang dianjurkan sendiri oleh PBT TPHTK semuanya adalah menjurus kepada matlamat ini. InsyaAllah bagi tahun 2016 ini, PBT TPHTK juga telah menyenaraikan program-program yang bersesuaian terutamanya bagi menyambut ulangtahun ke 20 kewujudan Taman Perindustrian Hi Tech Kulim.


Yang Berbahagia Dato/Tuan/Puan...


8. Saya amat berharap kerjasama erat antara kita semua dapat diteruskan selamanya bagi menjamin kelansungan kawasan ini. Semoga kita sama-sama dapat menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negeri Kedah dan negara Malaysia pada masa kini dan akan datang. Akhir kata saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli-ahli majlis, jabatan-jabatan kerajaan dan jawatankuasa penganjur yang berusaha menjayakan program ini. Juga tidak lupa kepada tetamu-tetamu jemputan kita yang hadir pada hari ini. Kepada pemain-pemain industri teruskan sokongan anda kepada PBT TPHTK. Kepada pemilik premis perniagaan saya berharap anda terus peka terhadap aspek kebersihan semasa penyediaan makanan dan keadaan premis anda sendiri. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf jika ada sebarang kekurangan dan kecacatan pada majlis kita pada hari ini.


Sekian, ‘Wassalamualaikum Warahmattullahi Wabarakatuh’